Nuffnang

July 26, 2011

Bila Ustaz Masuk Disko.







Lima orang anak muda, sedang duduk-duduk berbincang mengenai Islam dan hal-hal yang berkaitan dengan Islam. Seorang graduan dari Mesir, seorang dari Jordan dan seorang dari  Madinah dan dua orang dari Universiti Malaya. Salah seorang dari mereka berkata, "Orang yang macam mana pergi Masjid?", yang lain menjawab, orang yang ada ilmu tentang kelebihan pergi Masjidlah. "Siapa pula yang pergi Majlis Ilmu?" Yang lain menjawab, sudah tentulah orang yang ingin menambah ilmu, mencari ilmu atau pun yang ada pengetahuan tentang kelebihannya Majlis Ilmu itu. "Siapakah pula yang membeli bahan ilmiah mengenai Agama?", mereka juga menjawab, mereka yang cari ilmu atau yang ingin mendalami ilmu.

Baik, masalah nya sekarang ini, bagaimana nak ajak orang-orang yang tak ada ilmu, tak ada pengetahuan, malah tidak tahu langsung arah tujuan hidupnya. Yang mereka tahu, hiburan, kebahagiaan sementara, kenikmatan sementara yang menjerumus mereka ke lembah kehinaan di dunia dan akhirat.

Macam mana nak ajak, pakcik dan makcik yang tengah sibuk berdangdut, kakak-kakak dan abang-abang yang sedang berkaraoke, anak-anak muda yang tengah hayal dengan "shuffling" nya. Pergaulan bebas nya, kehidupan yang tiada batasan adab dan tata susila, lebih-lebih lagi batasan Islam. Kalau nak tunggu mereka datang masjid, entah bilalah perkara ini akan berlaku.

Mereka berlima mula memikirkan perkara ini. Betul juga, biasanya yang pergi Masjid, pergi Majlis Ilmu dan yang beli bahan-bahan ilmiah, malah menjenguk Blog Ilmiah pun tahu tujuan mereka ialah untuk mencari dan menambah ilmu. Bagaiman pula mereka yang tidak terlintas langsung dihati mereka yang mereka akan mati, yang mereka akan disoal dialam kubur akan apakah amalan mereka selama hidup di dunia ini. Tidak terlintas langsung ataupun munkin tidak yakin pun akan adanya Hari Kiamat dan Hari Akhirat.

Memanglah kalau nak salahkan pelulus-pelulus lesen tempat hiburan ini boleh aje. Kenapa mereka luluskan, kalau dah tahu banyak buruknya dari baik nya.  Salahkan orang tu, salahkan orang ini, salahkan mereka yang membuat undang-undang dan sebagainya. Kita sebenarnya kena ingat, semasa kita mencapai kemerdekaan dulu, walaupun agama rasmi negara adalah agama Islam, bangsa lain, boleh mengamalkan agama mereka. Jadi mereka boleh amalkan gaya hidup yang sesuai dengan kehendak agama mereka. Kita tak boleh kutuk agama mereka atau gaya hidup mereka sebab Allah sendiri sudah larang dalam Surah Al-Kafiruun. 

Maksudnya, mereka nak buat kuil ke, gereja ke, kilang arak ke, disko ke, itu adalah hak mereka dan gaya hidup mereka memerlukan kehidupan yang macam itu. Masalahnya kenapa orang Islam terikut-ikut dengan gaya hidup mereka ini? Yang membanjiri kelab-kelab Hard Rock Cafe, bangga dengan memaki T-Shirt Hard Rock Cafe, kebanyakanya orang kita, Melayu kita. Yang membanjiri panggung wayang, konsert, "theatre"lah , ini semua hiburan yang menarik orang-orang Melayu Islam kita ke tempat-tempat macam ini. Adakah sesiapa yang memaksa mereka? Tidak, mereka pergi dengan kerelaan hati mereka sendiri dan sudah tentulah kerana promosi dan  hasutan syaitan.

Lainlah kalau di Arab Saudi. Tiga tahun saya tinggal disana. Hukum hudud memang wujud di sana. Pemancungan di jalankan pada setiap hari Jumaat selepas Solat Jumaat dan tidak disorok-sorok...."public". Sesiapa yang kuat hatinya boleh aje pergi tengok. Ada juga yang pengsan, menyusahkan orang pulak nak memapah dia. Disana (Jeddah) tiap waktu solat lima waktu, kedai di tingalkan untuk solat berjemaah. Tidak dikunci pun tetapi sekarang kena kunci, sebab banyak orang asing dan pekerja asing (maksudnya, orang yang tak faham mencuri itu besar dosa nya).

Tetapi didalam larangan yang keras itu, rakyat-rakyat asing yang tidak beragama Islam, malah orang Arab sendiri yang bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Arab, ada yang bukan Islam. Mereka berpesta, buat arak sendiri, saya tahu sebab masa tu saya jahil lagi, dan juga atas ajakan "kawan" yang sebenarnya syaitan hendak menyesatkan. Dia kata "birthday party" budak 1 tahun. Makan-makan aje. Lepas potong kek, bukak hadiah, budak pun di hantar tidur, lepas tu.....Nak balik tak boleh, takde transport, nak balik sendiri malam-malam bahaya kat Arab Saudi. Nak buat macam mana, tunggu ajelah sampai "kawan" ni tadi rasa nak balik. 

Alhamdulillah semasa disana ada juga orang yang baik-baik yang mengajak kearah kebaikan. Masa tu pakai tudung pun tak....masa tahun 80an...banyak mana orang yang pakai tudung. Walaupun pergi Umrah tiap dua minggu, balik macam biasa je tak pakai tudung....sampailah Allah nak bagi hidayah untuk pakai tudung. Panjang lagi cerita mengenai pakai tudung ni tapi lain kali ajelah cerita ya.

Kembali kepada sahabat berlima tadi. Mereka mengira-ngira, apakah agaknya yang Rasulullah akan lakukan jika Rasulullah melihat keadaan anak-anak muda sekarang, yang merokok, lelaki dan perempuan, dadah nya, sekarang ini syisya nya, zina nya, buang anak nya. Pasti mengalir air mata baginda, sehingga basah janggut-janggutnya. Apakah agaknya yang akan Rasulullah buat? Bagaimanakah akan baginda mendekati anak-anak muda ini untuk menyampaikan sinar cahaya dari Allah?


Apakah kita semua tidak ada tanggungjawab untuk melakukan sesuatu? Apakah kerja menyerbu, menangkap dan memberi kaunseling ini kerja-kerja mereka yang berkenaan sahaja? MAIS, MAINS, MAIWP, dan lain-lain. Tangkapan-tangkapan dan serbuan-serbuan ini akan disensasikan pula oleh orang-orang yang berkepentingan  agar kewibawaan badan pencegah maksiat dan jabatan-jabatan agama Islam ini di perlekehkan. Pada hemat saya logo Halal Jakim pun sedang diserang kewibaan nya sekarang. Walaupun dah ada logo Halal Jakim, banyak laporan yang mengatakan produk-produk tertentu ada DNA babi.

Apakah akan terjadi pada generasi akan datang, apabila ibubapa yang lalai sebegini melahirkan zuriat. Bagaimanakah tarbiah mereka terhadap anak-anak mereka. Mereka bakal melahirkan anak-anak yang sama acuannya macam mereka juga. Beginikah keadaan bakal-bakal pemimpin kita? Bakal-bakal guru kita, rosak musnahlah negara kita dalam masa dua puluh tahun akan datang.

Mereka berlima tadi pun balik dan merasakan satu tanggungjawab yang amat berat untuk melakukan sesuatu.  Mana tidak, malu, bila bertemu Rasulullah diakhirat nanti bila Baginda bertanya, "Apakah peranan kamu dalam menyelamatkan kaum mu dari azab siksa api neraka ? Apakah kamu ada beritahu mereka yang azabnya amat pedih, walaupun untuk berada disana sesaat pun tidak terperi siksa nya?" Apakah yang akan mereka jawab nanti?

Keesokan hari nya, mereka berlima berkumpul lagi, kini didalam hati masing-masing melonjak-lonjak ingin mengemukakan idea-idea mereka. Inilah cadangan-cadangan yang mereka kemukakan untuk dibincang bersama samada boleh dipraktikan atau tidak.

1. Buat "flyer" dan sebarkan di tempat-tempat terpilih.

2. Adakan ceramah khas di tempat strategik.

3. Merapati anak-anak muda sebagai kawan dan apabila telah mesra bolehlah dinasihatkan mereka.

4. Adakan konsert dan adakan sketsa-sketsa ilmiah diantara nyanyian.

5. Masuk disko atau kelab-kelab dangdut ini dan terus berinteraksi dengan pengunjung-pengunjung disana.

Ada sesiapa yang boleh bagi cadangan lagi?



Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa;
Dan Ia akan menguatkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka.Dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).
Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. [al-Nur 24:55]