Nuffnang

May 5, 2011

Politik oleh Iqbal.

Iqbal adalah seorang anak muda yang berbakat. Allah mengurniakan kepadanya kelebihan untuk berkata-kata, (maksud saya menulis). Berkata-kata tu tak tau lagi lah. Iqbal ada blog bertajuk Bayyinat yang pada mula nya saya sangka adalah blog seorang perempuan.

Saya sering tertarik untuk membaca blog beliau kerana saya sendiri ada anak kembar yang meningkat dewasa, SPM tahun ini, dan saya sering tertanya bagaimanakah cara yang terbaik untuk membesarkan anak lelaki? Anak saya dulu pernah kesekolah agama, kerana saya terlalu kesian tengok mereka sekolah pagi (Sekolah Kebangsaan) habis 12.30ptg dan kemudian kesekolah agama dari 2.30-6.30 ptg. Sempat-sempat makan solat, tukar pakaian, siapkan beg dan terus kesekolah. Petang pun begitu, mandi, makan solat dan lepas tu tidur z z z z z.Homework tak buat, satu apa pun tak buat lagi, main pun takde. Kalau tengok Upin dan Ipin tidur macam itulah comelnya anak saya tidur. Sayalah yang buat homework dia orang. Sebab tu saya berhentikan sekolah agama.


Walaupun demikian ajaran agama yang setakat saya mampu terus saya usahakan. Solat berjemaah dan mengaji Al-Quran terus. Beli buku agama, ajak dengar ceramah agama di radio dan televisyen saya teruskan. Sekarang mereka remaja, dah ada pemikiran dan pendapat sendiri, tapi Alhamdulillah usaha saya setakat ini menunjukkan hasil yang memuaskan. Walaupun mereka kembar, mereka berlainan perwatakan. Pada mula nya saya bingung.  Apa salah dan silap nya. Tapi sebenarnya, tak ada silap nya. Ibubapa mendidik sebaik mungkin yang boleh, setelah meningkat dewasa, mereka berfikiran sendiri dan bertanggungjawab keatas diri sendiri. Selain dari pengaruh kawan dan persekitaran. Semuanya adalah dengan rezki yang Allah nak bagi. Yang penting ibubapa jangan sesekali berputus asa dan mendoakan yang bukan-bukan terhadap anak-anak. Ada masanya anak-anak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Apabila saya membaca blog Iqbal saya banyak juga faham tentang anak saya sendiri. Anak lelaki yang mula dewasa mereka tidak akan ceritakan segala-galanya pada ibu mereka. Mereka banyak bercerita kepada kawan-kawan. Sekarang ini Iqbal sedang sibuk bercerita tentang politik. Pada hemat saya apa salahnya jika orang biasa-biasa yang tak ada kepentingan langsung untuk masuk politik, kerana orang macam ini biasa nya tak masuk politik. Jadi, tidak ada gunanya cakap pasal politik jika kita sendiri tak lakukan sesuatu. Harap-harap Iqbal dan banyak orang lain macam Iqbal dan harap-harap anak-anak saya juga bolah membawa perubahan suatu hari nanti.

Walau apapun politik di Malaysia ini masih Alhamdulillah.... tidak ada pertumpahan darah seperti di Mesir atau Libya dek sebab orang yang gila kuasa dan lupa arah tujuan hakiki untuk berpolitik. Semoga Allah kurniakan kita semua ahli-ahli politik yang berjuang ikhlas sebenar-benarnya kerana rakyat Malaysia bukan kerana rakyat di rumah sahaja (kroni).